• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Seminar Hartanah Elak Penipuan

Haji Fariz Irwan Mustafa menyeru kepada orang ramai supaya datang beramai-ramai ke Seminar Cakna Hartanah Terengganu 2018.
KUALA TERENGGANU - Seminar Cakna Hartanah Terengganu 2018  yang akan diadakan pada 13 Oktober 2018  bertempat di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Padang Hiliran bertujuan untuk mendedahkan kepada orang ramai tentang penipuan dalam sektor hartanah.

Penganjur utama seminar, Haji Fariz Irwan Dato Mustafa berkata, ianya bertujuan untuk mendidik usahawan dan orang ramai supaya celik undang-undang yang berkaitan dengan urusan hartanah mereka.

“Apa yang saya nak beritahu dalam sidang media ini ialah kepentingan program di mana saya melihat ada kelompangan yang besar dalam konteks pemahaman rakyat tentang hartanah.

“Dalam konteks pemahaman rakyat pada hari ini, ramai yang sayang duit nak bayar RM30 atau RM50 nak belajar pasal tanah dan akhirnya mereka terjerumus dalam penipuan atau ‘scammers’,” ujarnya.

Beliau yang juga rakan kongsi kanan Tetuan Fariz Halim & Co Terengganu berkata demikian dalam sidang media Seminar Cakna Hartanah Terengganu 2018 di Hotel Primula (8 Oktober).

Katanya, program tersebut tidak bermotifkan keuntungan tetapi lebih kepada mendidik para usahawan dan rakyat Terengganu bagi mengetahui hak dan undang-undang berkaitan urusan pembelian serta pelaburan dengan cara yang betul dalam sektor hartanah.

“Program tersebut  akan memberi manfaat kepada lebih 200 orang yang terdiri daripada pelbagai kelompok lapisan masyarakat.

“Kami yakin dengan kehadiran ikon penceramah hartanah dan panel handalan yang lain mampu memberi ilmu yang bermanfaat kepada para peserta,” katanya.

Menurutnya, ianya akan memberi manfaat kepada orang ramai khususnya dari segi pengetahuan asas tentang perjanjian jual beli rumah dan hartanah, urusan pinjaman bank, kewangan Islam dan pelaburan hartanah serta hartanah lelong.

Tambahnya, peserta juga berpeluang memahami geran hartanah serta isu juga strategi yang berkaitan dengan urusan hartanah.

Justeru,  beliau menyeru kepada rakyat dalam dan luar Negeri Terengganu untuk datang beramai-ramai dan jangan sayangkan duit masing-masing untuk menuntut ilmu.

Turut hadir sama, panelis utama, Ahyat Ishak dan para panelis iaitu Mejar Aman Shah, Firdaus Abdullah, Ustaz Dzulkifli Jaafar, Marisa Mamat dan Redz Idrus.


Tag: