• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Semoga Ada Sinar Baru Buat Mangsa Banjir

TEMERLOH, 1 Januari - Kerajaan Terengganu berharap Operasi Bantuan Banjir Ke Pahang yang bermula 28 Disember dan berakhir baru-baru ini mampu memberikan sinar baru buat mangsa banjir di negeri terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya telah memperuntukkan RM100 ribu meliputi kerja pembersihan, bantuan dan dapur rakyat dalam tempoh selama tiga hari itu.

Katanya, semoga usaha kecil tersebut dapat melegakan penduduk terjejas untuk memulakan kehidupan baru dan bangkit setelah segala harta benda musnah.

"Mereka sudah tentu masih berada dalam keadaan trauma, namun dengan bantuan yang kami berikan insya-Allah ia akan meringankan beban mereka," katanya pada hari terakhir misi bantuan banjir tersebut.

Hanafiah turut berkata rata-rata sukarelawan menyatakan perasaan gembira kerana dapat melakukan kebajikan.

"Mereka rasa sangat gembira, namun operasi pasca banjir yang kita jalankan selama tiga hari ini telah berakhir.

"Saya rasamisi kita ini sudah tamat kerana hampir sebahagian besar premis milik kerajaan, bangunan dan kediaman penduduk telah dibersihkan dengan mencapai 95 peratus.

"Dalam masa yang sama saya telah menyewa sebuah jentolak dan dua buah lori 10 tan untuk mengangkut segala sampah sarap serta sisa-sisa untuk dibuang ke tempat yang dibenarkan oleh Majlis Perbandaran setempat dalam usaha kita memudahkan mereka yang terkesan banjir," ujarnya.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh rakyat negeri Terengganu menandakan bahawa berbeza negeri bukan penghalang bagi menghulurkan bantuan.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para sukarelawan dan juga seluruh agensi kerajaan membabitkan lapan daerah terdiri daripada Pejabat daerah, Majlis Perbandaran Angkatan Pertahanan Awam malaysia (APM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta seumpamanya.

"Juga kepada unit tubuh kerajaan negeri Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), UBSNT, Urus Setia Wanita (USWA), Sukarelawan Terengganu (T-VOLT) serta semua yang telah hadir berkampung di sini selama tiga hari," katanya.

Ujarnya, jika masih ada mana-mana pihak yang ingin terus menghulurkan bantuan untuk menyumbang segala peralatan termasuk perkakas elektirk, dapur dan segala keperluan maka sangat dialu-dialukan.

Selama tiga hari operasi tersebut dijalankan di antara lokasi menjadi tumpuan ialah Taman Mentakab Indah, Madrasah Ad Diniyah Al Islamiah, Kampung Tanjung Kerayon, Sekolah At-Taqwa, Batu Kapur, klinik Kesihatan Temerloh dan beberapa buah masjid serta surau juga di kawasan Maran serta beberapa lokasi lagi yang terkesan bencana.

 


Tag: