• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

"Sempat Lari Berpakaian Solat" - Mangsa Kebakaran

KEMAMAN, 30 Januari – “Pada jam 7.40 pagi, saya yang masih berpakaian solat sempat menyelamatkan diri bersama keluarga," luah seorang ibu, Rosmi Yusof menceritakan kembali pengalaman pahit dialaminya dalam kebakaran di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi.

Ibu berusia 54 tahun itu berkata, dia menyedari insiden tersebut setelah dihubungi jiran terdekat yang melihat jentera Bomba mengelilingi kawasan perumahan tersebut.

Rosmi berkata, dia bersama dua orang anak sempat menyelamatkan diri bersama seorang suami yang terlantar sakit akibat menghidap strok sejak enam tahun lalu.

“Pada saat getir itu, saya memberitahu anak-anak supaya ambil apa yang perlu sahaja, sekarang ini kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggan.

“Antara kerosakannya adalah mesin membuat kuih murukku, salah satu sumber pendapatan saya bagi menyara keluarga,” katanya yang juga diantara 32 penghuni di tujuh buah rumah yang hangus dijilat api.

Namun begitu, Rosmi amat berterima kasih terhadap kecaknaan kerajaan negeri yang melawat tapak rumahnya dan memberi bantuan kewangan serta pembinaan semula rumah dengan peruntukan sebanyak RM420,000.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, sumbangan kewangan tersebut adalah daripada pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Pembangunan Persekutuan termasuk kerajaan negeri bagi meringankan beban.

Jelasnya, beliau turut menyarankan syarikat bukan berkaitan kerajaan dalam sama-sama menyalurkan derma dalam bentuk tanggungjawab sosial kepada Tabung Darul Iman bagi meningkatkan lagi keupayaan bagi membantu masyarakat terkesan akibat bencana.