• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Semua Dikompaun, Tiada 'Double Standard'

BESUT, 14 Mei - “Semua orang tanpa terkecuali tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan saya akan menjelaskan kompaun sebagaimana orang lain,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi seperti yang dipetik dalam Utusan Malaysia memaklumkan, kompaun tersebut dibayar di Pejabat Kesihatan Besut, Ahad ini.

Beliau hari ini dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung larangan aktiviti ziarah pada Aidilfitri.

Terdahulu, Azman dalam hantaran terbaharu di laman Facebook turut memaklumkan selesai memberikan keterangan berhubung isu berkenaan dan menerima kompaun atas kesalahan dilakukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, turut dikenakan kompaun RM2,000 ialah tetamu yang juga jirannya, Zakaria Mahmud.

“Kedua-dua mereka menerima kompaun berkenaan selepas hadir memberikan keterangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira pukul 12 tengah hari ini,” katanya.

Sejak semalam, tular dua gambar yang memaparkan Zakaria berkunjung ke kediaman Azman di Besut selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Bagaimanapun, kedua-dua gambar yang dimuat naik Zakaria di laman Facebook miliknya itu didapati sudah dipadam.