• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Semua Penduduk Di PKPD 3 Lokaliti Mukim Sura Selesai Disaring

DUNGUN, 10 Julai – Ujian saringan COVID-19 bersasar di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti dalam Mukim Sura membabitkan 1,105 penduduk selesai sepenuhnya hari ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hari keempat saringan bersasar di tiga lokaliti itu merekodkan 976 orang selesai disaring dengan 929 individu sedang menunggu keputusan.

Katanya, pihaknya akan merujuk kes positif untuk rawatan lanjut di hospital manakala yang disahkan negatif perlu melalui ujian ulangan.

“Semalam, Terengganu melaporkan 82 kes baharu dengan 64 kes positif adalah daripada daerah Dungun, dengan penyumbang besar daripada kluster Gong Pasir.

“Kita dapati dalam kluster di sini telah merekodkan 78 kes positif dimana 53 daripadanya adalah melibatkan kaum keluarga.

“Siasatan lanjut mendapati antara puncanya daripada warga Dungun yang bekerja harian ulang alik daripada zon merah,” katanya kepada pemberita ketika ditemubual di pusat saringan Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Sura, hari ini.

Beliau turut mengingatkan seluruh warga Terengganu supaya mengelakkan aktiviti ziarah-menziarah antara rumah pada waktu ini walaupun dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bukan setakat majlis kahwin dan tahlil, tapi hakikatnya pergi ke rumah keluarga dan kawan-kawan boleh membawa padah, sebab itulah berlakunya kluster di sini,” tambahnya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang giat menyiasat supaya tiada penularan berlaku di kampung dan daerah berdekatan.

“Oleh itu, PKPD dikenakan untuk mengelakkan masuk keluar penduduk di kawasan terkesan.

“Oleh itu, jangan leka dan terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya negeri kita kekal dalam fasa kedua, bila peratusan imunisasi dan saringan meningkat membawa harapan untuk maju ke fasa seterusnya,” jelasnya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM hingga 23 Julai.