• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Semua PPS Di Terengganu Ditutup

KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Terengganu ditutup sepenuhnya tengah hari ini.

PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor yang menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga menjadi PPS terakhir yang ditutup secara rasminya pada pukul 12 tengah hari.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, walau bagaimanapun semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masih dalam tahap kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut 2021/2022.

"Keadaan cuaca semasa ketika ini baik dan cerah disemua daerah.

"Sungai-sungai utama telah kembali normal kecuali di Paya Paman Kemaman Sungai Kemaman masih aras bahaya tetapi menunjukkan trend menurun," ujarnya.

Menurutnya, bencana banjir gelombang kedua di Terengganu yang melanda tiga daerah iaitu Setiu, Dungun dan Kemaman bermula 17  hingga 21 Disember melibatkan 423 mangsa daripada 122 keluarga yang ditempatkan di sepuluh PPS.