• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Semua Vaksin COVID-19 Dijamin Selamat

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Orang ramai dinasihatkan tidak memilih atau mempersoalkan jenis vaksin COVID-19 yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kesemuanya dijamin selamat serta sudah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin seperti Pfizer-BioNtech, Astrazeneca, Sinovac, Cansino Biologics dan Sputnik V memiliki keberkesanan yang sama.

"Vaksin Sinovac yang dibotolkan akan mula diterima pada 15 Mac, saya sendiri bersama dengan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin akan mengambil suntikan itu.

"Saya akan mengambilnya di negeri ini untuk memberi keyakinan kepada masyarakat awam khususnya rakyat negeri ini bahawa ia adalah selamat," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata demikian selepas merasmikan program Semarak Dakwah 2.0 di Pasar Kedai Payang, pada hari ini.

Mengulas mengenai kebimbangan rakyat terhadap beberapa eksiden berkait keberkesanan vaksin AstraZeneca di luar negara, beliau berkata laporan yang diterima selepas siasatan mengesahkan ia tidak benar.

"Saya ingin memaklumkan vaksin itu telah diluluskan secara bersyarat dan Malaysia akan mula menerimanya pada sukuan ketiga, masih punyai tempoh ada tempoh tiga atau empat bulan lagi.

"Jadi dalam tempoh ini kita akan memantau dengan teliti perkembangan di seluruh dunia berhubung dengan beberapa eksiden yang dimaksudkan," ujarnya.

Dalam pada itu Ahmad Amzad berkata, sehingga semalam lebih 290,000 ánggota barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin fasa pertama yang berakhir April ini.

"Jumlah yang kita sasarkan untuk fasa pertama ini ialah 571,000 jadi untuk kadar vaksinasi yang sedang dilaksanakan sekarang sebenarnya kita agak terkehadapan.

"Jadi saya yakin fasa ini akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dengan melihat perkembangan minat masyarakat sehingga sekarang melalui pendaftaran lebih 5.5 juta dengan purata setengah juta yang mendaftar setiap hari," katanya.

 

 


Tag: