• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Senarai Pengimport Daging Halal Dikeluarkan Dalam Masa Terdekat

KUALA NERUS, 31 Disember – Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengumumkan senarai pengimport daging halal di negara ini  dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu sedang diteliti di peringkat kementerian dengan melibatkan pemain-pemain industri daging import.

“Senarai pengimport akan dikeluarkan dalam masa terdekat, tidak sampai sebulan dan mungkin seminggu, insya-Allah.

“Perbincangan tersebut dijangka pada awal bulan satu ini melalui kenyataan tarikh oleh Jakim.

"Rundingan demi rundingan seperti ini diharapkan akan selesaikan masalah ini sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Program Dana Inspirasi Malaysiaku (Inspirasiku) di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak semalam.

Menurut Dr Zulkifli Mohamad, pihaknya sedang dalam proses merancang pelan prosedur dan mengemaskini proses penilaian bahan mentah tersebut.

Jelasnya, kolaborasi erat dan berterusan antara pelbagai pihak dari kementerian yang berkait seperti Jabatan Veterinar juga dijalankan.

“Selain itu, pihak kami akan bertemu dengan pemain-pemain daging beku import untuk penyelarasan dan penerangan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan," tambah beliau.