• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Seni Gamelan Bakal Berkembang Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Seni Alatan Muzik Gamelan bakal dikembangkan dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat di negeri Terengganu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria berkata, Kampung Budaya Terengganu (KBT) di sini bersedia menjadi pusat perkembangan Gamelan Tradisional Melayu.

Katanya, JPNT juga telah membekalkan empat set alatan gamelan yang berharga RM25 ribu kepada sekolah terpilih bagi memastikan hasrat itu dapat dicapai.

“Pendekatan ini bertujuan untuk mendedahkan para pelajar tentang seni tersebut, sekali gus dapat mencungkil bakat dalam kalangan pelajar sekolah.

"Di samping, dapat memartabatkan seni muzik warisan bangsa dan penyerlahan daya kreativiti melalui teknik pembelajaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Konsert Gamelan Cilik 2023 bertempat di Kampung Budaya, Muzium Terengganu semalam..

Tambah Fadli Yusof, program seumpama itu dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan Seni Tradisi Istana Negeri Terengganu.

"Pada masa yang sama, memastikan kesenian ini sentiasa dipulihara dan melahirkan generasi pelapis dan pewaris seni gamelan ini," katanya.

Jelas beliau, Kampung Budaya Terengganu juga menawarkan kursus dan bengkel Seni Muzik dan Tarian Gamelan Melayu Tradisional percuma.

“Ia terbuka kepada guru-guru, para pelajar, kakitangan Jabatan dan badan-badan korporat," katanya.

Selain itu, JPNT juga bersedia membawa sekolah yang aktif dalam seni gamelan ke peringkat yang lebih jauh di dalam mahupun di luar negara.

 


Tag: