• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Seni Silat Warisan Yang Harus Dipertahankan

 

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Beruntunglah mereka yang mengamalkan dan meneruskan warisan seni silat Melayu kerana ia adalah seni pertahanan diri utama para pahlawan dan pejuang yang membebaskan tanah air daripada penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Speaker Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, silat mesti dipraktikkan setiap orang kerana tokoh para pejuang orang melayu terdahulu  menggunakan seni ini  untuk menuntut hari yang bersejarah ini.

“Jadikan peristiwa kemerdekaan ini satu motivasi kepada dunia seni silat dan bagaimana orang terdahulu daripada kita mencapai kemerdekaan sanggup berkorban dengan pengorbanan darah yang mengalir,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama Pesilat SUKMA negeri Terengganu di perkarangan U2, Wisma Darul Iman, pada semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Majlis Belia Sukan Negeri Terengganu (MBSNT), Ibni Amin Busu, Timbalan Pengawai Kewangan negeri merangkap Jabatan Angkat Silat SUKMA, Zawawi Abd Rahman,  Timbalan Pesaka Mohamad bin Mat Amin, Setiausaha, Fakhrul Azman Abu Bakar dan Bendahari, Ukasyah Hassan.

Menurutnya, sukan seni silat  adalah satu pertaruhan besar dan berpotensi serta sudah terbukti dapat melangkau jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Dengan semangat dan juang yang tinggi kita mampu mencapai serta menggondol pingat emas dan jangan ada dalam diri kita soal takut, rasa diri kerdil dan tidak hebat.

“Orang yang berusaha dia akan dapat apa yang dia mahu dan yang penting ialah kita mesti Istiqamah berlatih, ikhlaskan diri, betulkan niat dan jadikan dunia silat sebagai sebahagian dalam hidup kita,” ujar beliau. 

Dato’ Yahaya menambah, sukan ini penting kerana ia berkait dengan soal pembangunan dan imej negeri Terengganu.

“Kita nak supaya semangat yang ada pada atlet menjadi menjadi pencetus kejayaan yang cemerlang dalam sukan SUKMA. Ini adalah peluang untuk laksanakan tanggungjawab ini dengan suatu rekod yang cemerlang.

“Terus belajar dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa dalam mencapai misi serta kejayaan dalam sukan silat SUKMA yang menjadi kebanggaan. Kita tidak boleh capai cita-cita kalau tidak berusaha dan tidak boleh capai lebih banyak pingat sekiranya tidak gigih berlatih tingkatkan kemahiran” katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar para atlet silat mendisiplinkan diri dengan berlatih bersungguh-sungguh, ikhlaskan hati bukan kerana untuk mendapat inisiatif tetapi tanamkan dalam diri ia adalah satu amanah kepada diri masing-masing.

“Sekarang ini saya nampak imej orang luar kepada negeri Terengganu tinggi dan tidak pandang remeh serta selalu disebut bahawa Terengganu adalah negeri yang berpotensi.

“Dan banyak menjadi juara dalam sukan SUKMA serta seni silat adalah salah satu penyumbang dalam mencapai tahap tersebut,” tambah Dato’ Yahaya.


Tag: