• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sentiasa Dekati Rakyat Di Luar Bandar, Pedalaman

Oleh : Rohayati Ripin

SETIU, 26 Oktober -  Semua kakitangan kerajaan dinasihati agar terus menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kesedaran hidup bersama dalam sebuah Keluarga Malaysia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seluruh lapisan masyarakat dan badan pentadbiran.

"Kita harus mendekati masyarakat dengan sebaik-baiknya kerana kekuatan kita bukan sahaja kekuatan parti dan juga jentera parti.

"Tetapi sebagaimana yang saya sebutkan ialah kita perlu mendekati seberapa ramai kalangan rakyat dan ahli supaya apabila kita mendekati rakyat serta berbuat baik kepada rakyat insya Allah mereka akan kasih Kepada kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi penduduk kampung di sekitar kawasan DUN Langkap, semalam.

Turut hadir sama ialah Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof dan Ketua Muslimat negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman dan wakil Iman Care.

Beliau berharap agar semua kakitangan tak kira dari lantikan politik atau tidak agar sama-sama berkorban dan berjuang untuk menjadikan kerajaan yang ada sekarang lebih kuat.

“Parti kena lebih kuat bergabung dengan kerajaan untuk kita berusaha sedaya mungkin mendekati masyarakat.

“Buatlah apa sahaja pendekatan hasil kebajikan, dakwah supaya mereka boleh bersama-sama dengan kita,” kata Dato’ Yahaya.

Menurutnya, tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan amat berat kerana memikul amanah seluruh rakyat negeri ini.

“Walaupun benda kecil sekalipun apabila menjadi kerajaan ni kena ambil cakna sebab tanggungjawab kerajaan untuk menguruskan kepentingan rakyat  sesuai kedudukan kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

“Apabila turun ke bawah kita dapat menyelami sendiri susah payah masalah  dan keadaan kehidupan rakyat. Kitalah sebagai kerajaan yang menjadi harapan mereka untuk memberikan perlindungan dan juga pembelaan,” ujar beliau.

Justeru itu, kata beliau, kerajaan bertanggungjawab menyelesaikan walaupun sekecil-kecil masalah yang dihadapi oleh rakyat.