Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KEMAMAN, 1 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengesyorkan para peserta yang menerima Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) supaya bekerjasama dan sepakat ketika membersihkan dan menambun tanah mereka supaya masalah kemudian hari dapat dielakkan.
"Saya syorkan kepada peserta supaya berpakat kerana apabila berpakat, harga untuk pembersihan dan juga tambun menjadi murah.
"Biasanya sebelum ini, peserta-peserta RTB banyak berpakat mengupah kontraktor membersih dan tambung tanah supaya serata di semua kawasan. Kalau tiga kaki, tiga kaki belaka.
"Kita tidak mahu ada tiga kaki, ada empat kaki kerana kesannya nanti (boleh menyebabkan) banjirlah," maklumnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan penyerahan Dokumen Hak Milik dan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Bangunan Kediaman bagi DUN Cukai, di sini kelmarin.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar itu menyerahkan geran tanah kepada 99 penerima dan borang 5A kepada 41 peserta melibatkan empat RTB iaitu Kampung Fikri, Kg. Mak Lagam, Kg Paya Berenjut dan Kg Teluk Nyior.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mohd Fadli Yusof Zakaria.
Tambahnya, setakat ini Kemaman merupakan daerah paling banyak mengeluarkan geran tanah dan borang 5A sepanjang penggal lepas sehingga kini.
"Kita dari empat DUN di sini bermula awal bulan Ferbuari banyak telah bagi geran dan borang 5A. Saya nasihatkan yang dapat (borang) 5A ini bayar secepat mungkin.
"Jika sekiranya tidak mampu, boleh minta rayuan selama tiga bulan, menjadi enam bulan dari tempoh asal. Kalau tidak mampu juga, kita benarkan bayar ansuran selama setahun setengah, cuma apabila habis baru dapat geran.
"Kena ingat bahawa sebelum dapat geran, walaupun kita bayar ia bukan tanah kita, selepas dapat geran barulah jadi tanah kita. Jangan 'lok' (biarkan sahaja), kena cari 'pitih' juga untuk bayar," katanya.
Hanafiah turut mengingatkan supaya penerima geran tidak menjual tanah-tanah mereka, sebaliknya dijadikan pusakan untuk anak-anak.
"Hendak boleh tanah ini bukan senang, sangat susah. Kemudian, harga tanah semua sekarang ini melebih RM100 ribu lebih di Kemaman dan kerajaan hanya minta bayaran 10 peratus sahaja, kalau tanah berharga RM120 ribu, peserta cuma perlu bayar RM12 ribu sahaja.
"Jadi, bukan senang," katanya.