• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sepakat Tiga Tuan Tanah, Selesai Masalah Banjir

MARANG, 16 November - Persetujuan tiga pemilik tanah di Kampung Kijing di sini yang membenarkan tanah mereka dibuat laluan air ke longkang utama bakal menyelesaikan masalah banjir dan air bertakung di kawasan terbabit.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, masalah banjir itu perlu diselesaikan dengan menggali alur yang tidak pernah digali sejak sekian lama.

"Bagi menggali alur ini, pihak jabatan perlu memohon kebenaran daripada beberapa orang tuan tanah kerana terpaksa melalui tanah miliknya.

"Sebelum ini, pihak kerajaan negeri telah berusaha menyelesaikan masalah banjir ini dengan membina longkang yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Marang di sekitar sini.

"Namun, ketiadaan saluran air untuk ke longkang utama yang dibina tersebut, menyebabkan sebuah rumah dimasuki air dengan teruk setiap kali hujan turun, lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata ketika hadir bersama-sama meninjau kerja menggali alur air di Kampung Kijing baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Ahli Majlis Daerah Marang, Wan Nelang Abd Rahman, Penghulu Mukim Rusila, Mohd Sukri A. Ghani dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kijing.

Menurutnya lagi, usaha ini tidak akan terhenti setakat itu dan usaha tersebut juga telah bermula sejak mendapat aduan daripada MPKK.

"Usaha seperti proses mengenalpasti tuan tanah, pembinaan longkang di kawasan sekitar dan mendapatkan persetujuan laluan air di atas tanah pemilik dijalankan.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada beberapa pemilik tanah yang sanggup hadir berbincang walaupun ada yang keadaannya agak uzur," tambahnya lagi.


Tag: