• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sesi Persekolahan Terengganu, Johor Dibuka 7 November

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan bagi Terengganu dan Johor mengikut ketetapan Fasa 4 Program Pemulihan Negara (PPN), akan bermula pada 7 November depan.

KPM dalam kenyataannya berkata, ia selaras dengan penetapan pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan fasa baharu yang dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan.

Bagaimanapun, sekolah kerajaan di bawah KPM di Johor dan Terengganu hanya akan memulakan operasinya pada 8 November kerana 7 November depan adalah cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim KPM sempena perayaan Deepavali.

“KPM telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

“Sehubungan itu, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Johor dan Terengganu terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN pada 25 Oktober 2021.

“Pengoperasian Fasa Tiga PPN ini melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, Tingkatan 6 Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia.

“Ia turut melibatkan kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” jelas kenyataan berkenaan.

Selain itu, ia turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.