• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Setelah Berkurung Hampir Sebulan, PKPD Paka Tamat Esok

DUNGUN, 23 September - Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan penamatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti di Paka pada hari esok.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tujuh lokaliti tersebut membabitkan Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, PKPD dikuatkuasakan di lokaliti tersebut bermula pada 28 Ogos menjadikan hampir satu bulan setelah dilanjutkan tempoh sehingga 24 September bagi mengekang penularan COVID-19 di kawasan tersebut.