• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Setengah Juta Rokok Seludup Dirampas

KUALA TERENGGANU, 7 April - Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan rokok dengan nilai rampasan berjumlah RM99,818.40 melibatkan jumlah cukai mencecah RM503,051.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato' Sri Abdul Latif Abdul Kadir melaporkan, serbuan pertama melibatkan kes sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang belum dilulus kastam dibungkus dalam plastik hitam di pesisir pantai Lembah Bidong, Jalan Merang, Setiu, pada jam 1.00 pagi, 31 Mac.

“Anggaran jumlah rokok putih yang diperolehi adalah sebanyak 508,000 batang bersamaan dengan 2,540 karton yang dianggarkan bernilai RM66,040 dengan duti serta cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM341,884," katanya.

Jelasnya, tiada penahanan dibuat kerana mereka yang disyaki terlibat berjaya meloloskan diri dalam cuaca gelap.

“Kes kedua pada 10.30 pagi hari sama, sepasukan anggota JKDM menemui sejumlah rokok putih dan kretek dengan anggaran jumlah sebanyak 239,120 batang dengan nilai dianggarkan sebanyak RM33,778.40 dan duti serta cukai terlibat dengan anggaran berjumlah RM161,167.00.

“Serbuan dibuat di sebuah rumah kedai beralamat di Kampung Pak Madah, Bukit Payung. Pasukan telah berjaya menahan dua Orang Yang DiSyaki (OYDS) yang merupakan warga tempatan seorang lelaki dan seorang wanita.

Tambahnya, OYDS dalam lingkungan umur 20-an hingga 40-an dipercayai pemilik premis tersebut dan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua OYDS ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Mengulas lanjut berkenaan kerjasama bersama orang awam, Abdul Latif menyeru masyarakat dalam membantu Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM juga menyeru masyarakat untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800 88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya lagi.

Jelasnya, pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.