• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Setiu Wetlands Bakal Jadi Produk Pelancongan Terkenal

SETIU, 16 Julai – Setiu Wetlands bakal menjadi produk Pelancongan terkenal di negeri ini dengan pelbagai pengisian yang menggambarkan tradisi budaya dan gaya hidup tradisional.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata Setiu Wetlands adalah tempat menarik bagi mereka yang ingin merasai kehidupan yang tenang.

Katanya, keindahan alam, keanekaragaman ekosistem, kehidupan desa tradisional dan warisan budaya yang kaya menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan menarik.

“Terutamanya bagi mereka yang ingin mencari pengalaman yang berbeza dan dekat dengan alam semulajadi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Penutup Program Mini Alami Budaya Setiu Wetlands 2023 bertempat di Boardwalk Setiu,Kampung Pengkalan Gelap Setiu, Terengganu di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Ariffin Tengku Dato’ A Rahman.

Mohd Ariffin berkata program yang berlangsung selama dua hari bermula 14 dan 15 Julai itu menerima sambutan meriah oleh para pengunjung dan komuniti setempat di sini.

“Pada petang tadi telah berlangsung beberapa sukaneka bersama komuniti seperti gasing kecut, wau gasing, wau kepis dan pelbagai lagi.

“Tujuan aktiviti tersebut diadakan bagi mempamerkan budaya-budaya tradisional yang terdapat di negeri ini supaya sentiasa segar dalam ingatan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, keistimewaan program pada kali ini adalah pihak penganjur dapat mengumpulkan sebanyak 10 Mahaguru Persilatan daerah Setiu.

“Sebanyak 40 Mahaguru Pesilatan yang terdapat di daerah ini namun hanya 10 sahaja yang dapat kami himpunkan untuk membuat persembahan pada malam ini,” ujarnya.

 

 

 


Tag: