• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SG4 Kukuhkan Lagi Potensi 4 Negeri PN

KUALA TERENGGANU, 14 September – Penubuhan ‘State-Government 4’ atau SG4 akan mengukuhkan lagi potensi di keempat-empat negeri di bawah naungan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerjasama empat negeri ini iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis akan dilaksanakan secara berfasa.

“Saya telah memberi arahan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada hari Rabu lepas.

“Supaya semua exco dapat menghubungi rakan-rakan sekerja portfolio masing-masing di tiga buah negeri lagi untuk mengadakan perbincangan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang selepas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, melalui perbincangan itu, kita dapat merangka pelbagai usaha untuk pergi lebih jauh lagi dalam kerjasama tersebut.

“Persetujuan di peringkat semua Menteri Besar dan ketua-ketua kerajaan sudah berlaku.

“Waktu sekarang setiap portfolio hendaklah merangka apa yang boleh dibuat kerjasama dalam portfolio masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata, antara fokus yang diberi perhatian dalam pembentukan SG4 adalah pertanian, industri, pelancongan dan juga lain-lain kerjasama dalam memajukan anak syarikat negeri (GLC) masing-masing.

"Untuk peringkat awal, kerajaan negeri Terengganu dan Perlis telah menjalinkan kerjasama untuk mewujudkan sebuah hospital KMI di Perlis sebelum penubuhan SG4 lagi," katanya.

Terdahulu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan al-Muluk Bita’dil Assuluk.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.