• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sheikh Nuruddin Terkejut Dengan Sikap Kerajaan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 November - Sheikh Nuruddin Al-Banjari terkejut dengan layanan kerajaan Terengganu terhadap golongan ulama yang bertandang dan berada di negeri itu.

Pendakwah terkenal itu berkata, daripada beberapa negeri yang pernah dikunjunginya, beliau merasakan Terengganu mempunyai aura luar biasa.

"Walaupun Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sakit, tetapi beliau tetap menjemput saya datang, mereka siapkan kami dua buah velfire, mereka memandu untuk kami dan kereta itu (bukan kereta kerajaan) memang mereka siapkan khusus untuk tetamu dan orang agama," katanya selepas bertandang ke Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya lagi, orang ramai boleh melihat keadaan tenang di Terengganu dan ia berpunca daripada sikap kerajaan yang memuliakan golongan agamawan serta ulama.

"Saya juga dijemput kerajaan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah untuk berbincang beberapa perkara bersama kumpulan kami.

"Ikram dan takzim mereka kepada tetamu sangat ketara, prinsip dan asas ini insya-Allah tidak akan dipandang kosong oleh Allah SWT," jelasnya.

Katanya lagi, beliau juga terkejut dengan sambutan masyarakat Terengganu terhadap kuliah-kuliah yang dianjurkan.

"Sewaktu saya berkuliah di daerah-daerah dan masjid-masjid, bukan setakat mendapat sambutan, tetapi hubungan kami juga kami sangat mesra walaupun dalam keadaan menjaga prosedur operasi standard (SOP)," tambah beliau.


Tag: