• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu FC Mahu Kekalkan Faisal Halim

KUALA NERUS, 10 Jun- Terengganu Football Club (FC) Sdn. Bhd. menzahirkan hasrat melanjutkan kontrak pemain sayap kebangsaan, Mohd Faisal Abdul Halim yang akan tamat pada 30 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FCSB, Ab Rasid Jusoh berkata, pengurusan dan barisan kejurulatihan telah membincangkan status pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

"Kita akui prestasi pemain ini dan memang kita telah menyuarakan hasrat untuk mengemukakan lanjutan kontrak.

"Cuma Faisal belum memberi keputusan bagi perkara terbabit.

"Dia memaklumkan mahu menumpukan sepenuh tumpuan dan memberikan persembahan terbaik untuk pasukan kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Away Terengganu di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.

Dalam majlis berkenaan, pasukan pantai timur itu memperkenalkan jersi kedua (away) koleksi terbaru Terengganu FC ×UMBRO yang disempurnakan YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNP).

Tambahnya, selain Faisal, seramai 19 pemain Terengganu FC II dan 10 pemain Terengganu FC juga akan tamat kontrak pada November ini.

"Perkara ini juga masih dalam penilaian pihak pengurusan," katanya.

Dalam pada itu, penolong ketua jurulatih Terengganu FC, Hairuddin Omar memaklumkan, barisan kejurulatihan juga telah mencadangkan perkara tersebut kepada pengurusan.

"Faisal pemain yang penting untuk Terengganu FC. Jadi, kita harap rundingan antara pengurusan dan pemain itu membuahkan hasil positif," katanya.

 

 

 


Tag: