• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SIDANG DUN : 59 Program Dilaksanakan Sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021

KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri berjaya melaksanakan 59 daripada keseluruhan 74 program sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata program utama tersebut melibatkan sebahagian besar bidang pertanian, perikanan dan penternakan dengan peratusan pelaksanaan lebih 79 peratus.

"Kita telah berjaya melaksanakan 32 program daripada 42 senarai dalam sektor pertanian manakala dalam sektor perikanan pula telah melaksanakan 23 dari 26 program yang telah dirancang.

"Bagi penternakan pula hanya dua sahaja lagi daripada empat program yang telah dirancang untuk tahun ini. Menjelang tarikh penutupan tirai Tahun Pertanian Terengganu 2021, kami berkeyakinan sebanyak 85 peratus program akan berjaya dilaksanakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya lagi, program-program tersebut tidak akan terhenti dari segi pelaksanaan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.