Raja Muda Kurnia Bintang, Pingat Pergerakan Pengakap Kepada 179 Penerima
KUALA TERENGGANU, 29 Mac- Persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang akan berlangsung selama tiga hari berakhir Rabu ini memberi fokus kepada enam teras utama termasuk pembangunan pendidikan dan penghayatan agama di kalangan belia negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, belia yang mengambil bahagian dalam persidangan tersebut turut diharap dapat memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi dan kerjaya, pembangunan sosial dan kebajikan, pembangunan wanita dan keluarga, pembangunan kemahiran dan kepimpinan serta pembangunan teknologi maklumat.
"Enam teras ini merangkumi permasalahan dan masa depan anak-anak kita. Sekiranya isu-isu ini dapat ditangani dengan baik sudah tentu masa depan mereka lebih terjamin," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan ADUN Belia Terengganu Siri II di Wisma Darul Iman, semalam.
Sementara itu beliau berkata, Dewan Belia menjadi platform untuk berbahas dan memberi cadangan penambahbaikan kepada kerajaan negeri.
Tambahnya, usul yang dibentangkan para perwakilan juga menjadi input berharga kepada pihak kerajaan dalam menggubal dasar dan polisi.
"Walaupun persidangan ini bukan mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebenar, ia merupakan platform yang sangat baik kerana ADUN Belia boleh tampil memberikan pandangan dan cadangan dari perspektif belia kepada pihak kerajaan negeri.
"Segala perbahasan akan diberikan penekanan oleh pihak kerajaan dalam melaksanakan segala agenda yang berkaitan dengan pembangunan belia Terengganu," ujarnya.
Katanya, seramai 33 orang belia terpilih akan mewakili 32 DUN di Terengganu disamping
seorang menjadi wakil ADUN Wanita.