• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sidang DUN : Cipta Program, Tarik Remaja Imarah Masjid

KUALA TERENGGANU, 25 November - Golongan pendakwah dan agensi berkaitan perlu mengadakan program yang mampu menarik anak muda untuk mengimarahkan masjid dan surau.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pengurus dakwah seperti ahli jawatankuasa serta pegawai masjid perlu memiliki pemikiran kreatif dan semangat yang kuat dalam mendekati golongan muda.

“Peranan pejabat agama dan agensi berkaitan juga penting untuk menaikkan semangat dan minat jawatankuasa serta pegawai masjid bagi mengadakan dan menyusun program yang mampu menarik anak muda ke masjid.

“Kita juga menggalakkan agensi yang ada hubungan dengan belia dan beliawanis seperti NGO Belia, Urusetia Belia dan Sukan, Urusetia Wanita dan Beliawanis mengadakan program di masjid untuk mendekatkan anak muda dengan masjid.

“Pendekatan kesedaran yang ditonjolkan semua pihak sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam memastikan insitusi masjid dan surau diimarahkan terutama sekali daripada golongan muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini.

Katanya, setiap muslim mesti memiliki rasa tanggungjawab untuk melaksanakan dakwah di mana-mana sahaja sama ada berada dalam mana-mana agensi yang berkaitan dakwah ataupun luar bidang dakwah.