• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sidang DUN : Darul Barakah Perlu Bela Nasib Penagih Wanita

KUALA TERENGGANU, 15 September - Penubuhan Darul Barakah sebagai Pusat Pemulihan Dadah secara holistik perlu menerima kemasukan penagih wanita.

Ini kerana Terengganu merekodkan kes membabitkan wanita hamil disahkan positif dadah semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini.

Beliau berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan terutama terhadap tahap kesihatan bayi yang dilahirkan. 

"Baru-baru ini, saya menerima maklumat daripada One Stop Crisis Center (OSCC) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bahawa bilangan wanita yang melahirkan anak dan didapati positif dadah semakin bertambah dan membarah. 

"Kesannya, bayi yang dilahirkan menerima komplikasi kesihatan daripada pengambilan dadah oleh si ibu,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kes melibatkan keganasan rumah tangga di negeri itu juga dilaporkan meningkat sejak pandemik Covid-19. 

"Merujuk kepada data yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2020, sebanyak 288 kes keganasan rumah tangga berlaku di Terengganu berbanding 215 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2019. 

"Jumlah terkini diperoleh daripada OSCC HSNZ menunjukkan sebanyak 114 kes direkodkan sejak Januari hingga Ogos 2021. Kes dilaporkan merangkumi kes rogol, cabul, liwat serta penderaan rumah tangga dan kanak-kanak," katanya. 

Sehubungan itu, Zuraida menggesa semua  semua pihak untuk sentiasa menambah baik operasi dan modul terutama meliputi aspek pelindungan dan kebajikan golongan kurang bernasib baik itu.

Katanya, beberapa inisiatif diambil sebelum ini wajar diperkasakan dalam membela nasib golongan itu.

"Saya mencadangkan supaya Penubuhan Darul Barakah di bawah Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah yang merupakan Pusat Pemulihan Dadah secara holistik dapat menerima kemasukan penagih wanita.

" Begitu juga dengan penubuhan Raudhatul Jannah atau dikenali sebagai Vila Mawaddah yang merupakan pusat perlindungan bagi anak-anak terbiar di bawah Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat. 

"Usaha ini sangat penting bagi membela nasib kanak-kanak yang tidak mendapat perlindungan sewajarnya dan perlu diberikan pembelaan dari sudut pendidikan, keselamatan dan kebajikan," katanya.


Tag: