• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sidang DUN : Daya Tahan Ekonomi Terengganu Bertambah Baik

KUALA TERENGGANU, 15 September - Daya tahan ekonomi negeri Terengganu semakin bertambah baik walaupun dalam suasana yang sangat mencabar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua negeri dan negara mengalami penguncupan susulan penutupan sektor ekonomi hampir setahun untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

“Di sebalik penguncupan 5.7 peratus ekonomi negeri pada 2020, sepatutnya diakui juga bahawa Kerajaan Negeri telah melakukan yang terbaik untuk menyerap impak (to cushion the impact) pandemik COVID-19.

“Kerajaan berjaya menaikkan kedudukan Negeri Terengganu di kedudukan kesembilan bagi tahun 2020 berbanding di kedudukan ke-13 bagi tahun 2018 dan di kedudukan ke-11 bagi tahun 2019,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan perutusan Sultan Terengganu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri lagi, pengukuhan itu juga dapat dilihat menerusi keupayaan kerajaan negeri membangunkan pelaburan.

“Apabila berjaya menambah jumlah pelaburan kepada RM2.95 bilion bagi keseluruhan tahun 2020 berbanding RM863.66 juta pada tahun 2019.

“Kerajaan Negeri juga sedang berusaha keras untuk mencapai sasaran pelaburan berjumlah RM3.75 bilion bagi keseluruhan tahun 2021. Menerusi kesemua projek-projek pelaburan ini, dijangkakan sebanyak hampir tiga ribu peluang pekerjaan dapat diwujudkan di Terengganu.

“Insya-Allah prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu akan kembali bertumbuh positif bagi keseluruhan tahun 2021 dan pada tahun 2022,” tambah beliau.
 


Tag: