• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Sidang DUN : Enam Projek 'Public Private Partnership' Lebih RM3.2 Bilion

Dr. Mamad ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) dalam persidangan DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim
Terdapat enam projek yang dilaksanakan kerajaan negeri terdahulu dengan konsep 'Public Private Partnership' (PPP) melibatkan kos lebih RM3.2 bilion, kata Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh. 

Menurut beliau, terdapat dua kaedah pembayaran bagi enam projek PPP tersebut iaitu pembayaran tertangguh dan kaedah bayaran berjadual yang bermula dari 2016 sehingga tahun 2032.

Katanya, projek tersebut ialah Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dengan kos RM686.87 juta yang perlu dibayar dalam tempoh enam tahun, Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (RM1.3 bilion dalam tempoh 13 tahun) dan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus bernilai RM600 juta dalam tempoh lapan tahun enam bulan.

“Muara Sungai Terengganu (RM90.24 juta dalam tempoh lima tahun), asrama atlet Majlis Sukan Negeri (RM95.49 juta dalam tempoh lima tahun) dan pembangunan Bandar Baru Kijal fasa dua di Kemaman (RM250 juta dalam tempoh lima tahun)," katanya. 

Beliau yang juga ADUN Kuala Berang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) dalam persidangan DUN Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Dr Mamad berkata, bayaran pada 2016 dan 2017 berjumlah RM70 juta setahun manakala pada tahun ini, jumlah yang perlu dibayar ialah sebanyak RM101.2 juta.

“Untuk 2019, kerajaan negeri perlu membayar RM290.8 juta, 2020 (RM348.1 juta), 2021 (RM382.2 juta), 2022 (RM371.4 juta), 2023 (RM339.6 juta), 2024 (RM248.1 juta).

“Manakala tahun 2025 hingga 2031, jumlah perlu dibayar ialah RM761.6 juta dalam tempoh tujuh tahun dan bayaran terakhir pada 2032 ialah sebanyak RM45.3 juta," ujarnya menjawab soalan tambahan Hishamuddin berhubung jumlah bayaran yang perlu dibuat secara tahunan.

Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan projek menggunakan konsep itu pada masa akan datang terutama yang melibatkan keperluan mendesak rakyat seperti menaiktaraf loji rawatan air.

"Bagaimanapun, sudah tentu kajian perlu dibuat mengenai kemampuan kewangan negeri agar kita tiada masalah dalam proses pembayaran semula seperti yang ditetapkan," katanya. 


Tag: