• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sidang DUN: Kerajaan Negeri Lulus Permohonan UniSZA Guna Blok Bangunan Di Taman Ilmu


Kerajaan negeri meluluskan permohonan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menggunakan dua blok bangunan asrama di Taman Ilmu di Tembila, Besut dengan kemasukan kumpulan pelajar pertama adalah pada 5 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Ir Rosli Othman berkata, berdasarkan persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak, UniSZA diberi pengecualian bayaran sewa bangunan selama 10 tahun dengan syarat pusat pengajian itu menanggung kos membaik pulih dan pembaikian dua buah asrama tersebut.

“Pihak UniSZA perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Unit perancangan Ekonomi negeri (Upen) bagi kerja-kerja pembaikian yang akan dilaksanakan dan kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja untuk kos-kos pembaikian tersebut.

“Adalah menjadi tanggungjawab UniSZA untuk membaik pulih atau membaiki mengikut kesesuaian dan spesifikasi yang diperlukan. UniSZA juga tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang jenis barangan perabot selepas tamat tempoh yang dipersetujui,” ujarnya.

Ir Rosli (BN-Kemasik) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Satiful Bahri Mamat(Pas-Paka) di mesyuarat kedua penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Satiful Bahri mengemukan soalan berhubung status terkini Taman Ilmu di Besut dan usaha pemulihan pembangunan yang sedia ada serta peruntukan yang dijangka terpaksa dikeluarkan.

Taman Ilmu yang dibangunkan menerusi Projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di kawasan seluas 280 hektar dengan kos kira-kira RM300 juta itu dibina mulai 2004.

Bagaimanapun, projek tersebut terbengkalai setelah beberapa tahun dibina dan pada 2012 projek pembinaannya disambung semula dengan menyediakan kelengkapan asrama, kompleks pusat pelajar, dewan konvokesyen dan kompleks sukan serta mini stadium.

Katanya, dalam masa yang sama, kerajaan negeri menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak yang mana antaranya ingin membangunkan semula Taman Ilmu ini.

“Jadi pihak Upen masih lagi mengkaji untuk memastikan cadangan yang dikemukakan adalah yang boleh dilaksanakan dan memberi faedah kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Ir Rosli berkata, kos yang telah dibelanjakan untuk membangunkan Taman Ilmu setakat hari ini adalah sebanyak RM340 juta.

“Kerajaan negeri setakat hari ini tidak bercadang untuk mengeluarkan kos tambahan untuk membangunkan Taman Ilmu tersebut kecuali ada cadangan-cadangan daripada pihak berminat untuk membangunkan pusat pendidikan tersebut,” ujarnya.

Tambah Ir Rosli, pihak UniSZA akan menanggung kos baik pulih dua blok tersebut sehingga ke tahap bersesuaian yang memenuhi spesifikasi untuk diduduki oleh pelajar-pelajar mereka.

“Anggaran kos untuk baik pulih adalah RM10 juta di mana sebahagian besarnya untuk membawa bekalan elektrik dan air ke kawasan tersebut.

“Segala kos yang akan ditanggung oleh pihak UniSZa ini akan diganti balik oleh sewa tapak selama 10 tahun dan untuk keselamatan tempat itu pula, akan diwujudkan pagar untuk memastikan ada kawalan keselamatan,” ujarnya.

Tag: