• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sidang DUN : Kerjasama Pelbagai Pihak Tangani Kenaikan Harga Makanan Ternakan

KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri telah bekerjasama dengan beberapa agensi dan persatuan bagi menangani isu kenaikan harga makanan ternakan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha kilang makanan ternakan (pellet), Koperasi Peserta-peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB) di Gong Badak dan wakil persatuan Ternakan Ruminan negeri.

"Kerjasama ini diadakan bagi memastikan harga makanan ternakan dalam negeri terkawal dan harga yang lebih berpatutan berbanding sumber dari luar negeri.

"Kita juga telah meminta agar persatuan tersebut memainkan peranan dalam mempromosikan makanan keluaran tempatan dengan harga yang lebih berpatutan kepada ahli-ahlinya dan penternak yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.

Tambah Dr Azman lagi, penternak-penternak juga digalakkan menumpukan kepada penggunaan makanan hijau sebagai makanan utama ternakan bagi mengurangkan kos makanan melalui pembangunan tanah Rizab Padang Ragut.