• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SIDANG DUN : Sedia Siasat  Dakwaan Berkenaan Hutan Simpan Gunung Tebu

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan negeri akan menyiasat dakwaan berhubung pembatalan status Hutan Simpan Gunung Tebu di Besut yang merupakan kawasan eko-pertanian negeri.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya memerlukan maklumat lanjut bagi memudahkan siasatan dibuat untuk tindakan seterusnya.

“Kita memerlukan maklumat lanjut untuk membuat siasatan tetapi saya ingin menjelaskan terdapat 12 kategori hutan simpan kekal berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kita  akan menilai sama ada  Hutan Simpan Kekal diwartakan dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air terlibat atau telah dibatalkan bagi tujuan pembalakan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Langkap, Dato Sabri Mohd Noor di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, antara kategori  tersebut adalah hutan pengeluaran kayu di bawah perolehan kekal, hutan perlindungan tanah, hutan tebus guna tanah, hutan kawalan banjir, hutan tadahan air, hutan perlindungan hidupan liar, hutan lipur dan hutan penyelidikan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.