• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Sidang DUN Terengganu Disingkatkan Kepada Dua Hari

KUALA TERENGGANU, 11 November -  Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang dijadualkan pada 23 hingga 26 November ini disingkatkan kepada dua hari iaitu pada 23 dan 24 November. 

Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ia selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat  minggu iaitu bermula 9 November hingga 6 Disember.

Katanya, persidangan itu akan dilangsungkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti saranan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antaranya, mesti ada perjarakan sosial, memakai pelitup muka, hanya  Ketua Jabatan dibenarkan hadir dan dibenarkan duduk di kerusi pemerhati, manakala pemerhati tidak dibenarkan hadir.

“Pada masa sama, petugas media akan turut dihadkan bergantung kepada keluasan bilik media,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Berdasarkan jadual hari pertama, persidangan DUN akan dimulakan dengan ucapan YDP DUN, kemudiannya sesi soal jawab lisan dan seterusnya perbentangan Bajet 2021 yang akan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada hari berikutnya, dibenarkan sesi soal jawab, sesi perbahasan yang dihadkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)  dan kemudian diakhiri sesi pergulungan pada sebelah petang.

 


Tag: