• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sidang DUN : Tiga Menara Baharu Di Air Putih Dalam Pembinaan

KUALA TERENGGANU, 14 September - Sebanyak tiga menara baru sedang dan akan dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia bagi mengatasi masalah di kawasan tersebut yang mengalami capaian internet lemah.

"Sebanyak 44 menara sedia ada  dalam proses naiktaraf kepada liputan 3G dan sebanyak 2,583 premis sedang dinaiktaraf kepada gentian fiber optik talian tetap sehingga tahun 2022.

"Daripada jumlah itu, satu menara telah siap dibina, 25 menara sedia ada telah dinaiktaraf kepada liputan 4G dan sebanyak 2,350 premis boleh menikmati liputan jalur lebar tetap," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Air Putih, Ab Razak Ibrahim di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.

Sementara itu, satu menara sedang dibina  di Kampung Perasing dan menara sedia ada  di Felda Neram sedang dinaiktaraf.

Kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sedang merancang untuk menyediakan liputan talian tetap UNIFI kepada penduduk pada masa akan datang.