• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sijil Vaksin Palsu, Lima Individu Sedia Jadi Saksi

KUALA TERENGGANU, 12 Januari -  Polis mengenal pasti lima individu yang membeli sijil vaksinasi palsu di sebuah klinik swasta di Marang, dekat sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, lima individu berkenaan turut menyatakan persetujuan untuk menjadi saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, polis turut bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk membuat semakan dalam aplikasi MySejahtera.

“Kesemua mereka menghubungi polis dan mengaku terlibat dalam pembelian sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan. Jadi, kita minta lebih ramai individu tampil secara sukarela untuk membantu siasatan kes ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Sabtu lalu, seorang doktor klinik swasta di Marang ditahan polis dipercayai kerana menawarkan khidmat menjual sijil vaksinasi palsu termasuk kepada pelanggan dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

Sementara itu, Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati ada golongan tertentu yang mendapatkan sijil vaksinasi palsu daripada suspek, namun beliau tidak dapat mendedahkan lebih lanjut buat masa ini - UTUSAN MALAYSIA