• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Singgah Sains, Pupuk Minat Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 26 Jun- Pusat Sains Negara (PSN) dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menganjurkan Program Singgah Sains Terengganu 2022 di PSKT selama dua hari bermula hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, program yang diadakan itu bertujuan mendekati masyarakat terutamanya golongan muda dan pelajar bagi memupuk minat dan meningkatkan populariti bidang sains, teknologi dan Inovasi (STI).

“Penganjuran program ini juga sejajar dengan matlamat Dasar Sains,Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui STI yang kukuh.

"Program Singgah Sains Terengganu 2022 ini dapat memperkasakan pembudayaan STI tanpa mengira latar belakang dan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha melahirkan modal insan yang inovatif, berdaya saing, berkemahiran dan berpengetahuan.

“Program Singgah Sains sebenarnya telah dilaksanakan sejak 2014 dan memberi manfaat kepada lebih 15,000 rakyat di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian program tersebut, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, Maliaman Kassim.

Katanya, Program Singgah Sains Terengganu 2022 disertai oleh Keluarga Malaysia dalam kalangan murid pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah, pelajar institut pengajian tinggi, ibu bapa serta warga pendidik.

“Ia dilihat mampu menjadi salah satu pemacu ke arah membina bakat STI, selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang memfokuskan kepada kemajuan ekonomi berasaskan pengetahuan.

"PSN sentiasa menggalakkan kerjasama pintar dalam bidang STI yang dapat memberikan impak besar kepada masyarakat. Justeru, inisiatif dan kerjasama pintar antara PSN dan PSKT yang telah terjalin sejak sekian lama sehingga kini dilihat sebagai platform terbaik untuk merancakkan pelbagaiprogram pendidikan dan pameran interaktif," ujarnya.

Pada majlis perasmian tersebut, pameran Mobile Thematic Exhibition (MTE) bertemakan 'Dunia Galaksi' turut diperkenalkan. 

Sebanyak Sembilan set bahan pameran modular berkonsepkan fizik astronomi bernilai RM500,000 ditempatkan di PSKT bagi tempoh dua tahun. 

Pameran Dunia Galaksi yang dibangunkan oleh PSN ini berkonsepkan fizik astronomi dengan keluasan 300 meter persegi. Ia dilengkapi dengan persekitaran interaktif, bahan pameran hands-on, teks saintifik dan maklumat berbentuk grafik bagi menarik minat orang ramai mengenai STI. 

Melalui aplikasi ini, ilmu astronomi, fizik dan fenomena seperti Fasa Bulan, Peredaran Atmosfera, Hukum Newton, Kuiz Buruj dan banyak lagi dapat dipelajari dengan lebih menarik.


Tag: