• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sistem SAMPAI Promosikan Kerja Kosong Di Setiap Daerah

BESUT, 22 Disember – Kerajaan negeri menerusi Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) bakal menyediakan satu platform pekerjaan kosong di setiap daerah menerusi Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (SAMPAI).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sistem tersebut memfokuskan kepada mempromosikan kerja kosong, peluang latihan dan kemahiran yang bakal dilaksanakan Januari tahun hadapan.

“Pada peringkat awal ini, kita akan memasang paparan digital ini di setiap lapan Pejabat Daerah dalam negeri kemudian akan diperkembangkan di Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pengumuman digital ini akan dilangsungkan secara 24 jam dengan penambahbaikkan dan maklumat secara berterusan oleh THRDC.

“Kenapa tidak buat menerusi aplikasi Whatsapp?, dapatan kami adalah 70 peratus maklumat tidak sampai kepada penerima dan menerusi platform luar talian ini, kita ingin capaian lebih baik lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu yang diadakan di Dewan Merdeka, Kota Putera Square, baru-baru ini.

Tambahnya yang juga ADUN Kota Putera, informasi diwar-warkan turut boleh digunapakai oleh golongan majikan yang boleh berpandukan statistik bidang tenaga di sesebuah kawasan.