• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Skim Permata Sejahtera Tabungan Masa Depan

KUALA TERENGGANU, 22 April - Skim Permata Sejahtera yang diwujudkan kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sebagai galakan untuk tabungan masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata setiap kelahiran yang didaftarkan di bawah Skim ini akan menerima RM100 menerusi sumbangan yang diberikan dibuat dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

"Jumlah caruman bergantung kepada bilangan anak ke berapa, anak pertama hingga keenam mendapat RM100 seorang, anak ketujuh menerima RM200, tambahan RM100 untuk bilangan anak seterusnya," ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Permata Sejahtera dan  Iftar Bersama ADUN Ladang yang diadakan di sini kelmarin.

Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Penyelidik di Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ahmad Kamal Ali dan Pengarah YPK, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah. 

Tengku Hassan turut mencadangkan agar prosedur Skim tersebut ditambah baik supaya setiap anak yang baharu lahir mendapat manfaatnya.

"Terima kasih Ameerah (Muslimat Muda PAS) dan Muslimat PAS yang berkunjung ke rumah Ibu-ibu bersalin sambil mendaftar bayi-bayi yang baru lahir itu," katanya.


Tag: