• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang

HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Pembinaan 'Slipway' dengan kos hampir RM250 ribu bakal memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menggunakan bot di Sungai Berang berhadapan dengan Kampung Buluh, Kuala Berang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata pembinaan 'slipway' ini bertujuan untuk menurunkan bot dengan mudah selain digunakan ketika kecemasan.

"Pembinaan 'slipway' ini merupakan satu keperluan yang sepatutnya sudah lama ada di sini. Ianya bertujuan untuk menurunkan dan menaikkan bot dengan lebih mudah. Sekiranya ada keperluan misalnya kejadian mati lemas atau kecemasan di air, kita boleh menurunkan bot dengan lebih cepat dan mudah" jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan 'slipway' berdekatan Jambatan Kampung Buluh petang semalam.

Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini menelan kos yang agak besar, dan baru sahaja memasuki peringkat awal pembinaan.

"Projek ini baru saja bermula kerja-kerja melantak cerucuk, dan saya berharap projek ini akan berjalan dengan lancar bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai pada masa akan datang," katanya.