• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

SMK Landas Rosak Teruk Dibadai Ribut Kuat


Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 27 Ogos -
Satu kejadian ribut telah melanda Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas, Ajil, berlaku antara jam 3 hingga 3:15 , petang tadi.

Kejadian tersebut menyebabkan keseluruhan bumbung bangunan tiga tingkat menempatkan kelas pelajar telah musnah dan kejadian ini merupakan kali pertama berlaku semenjak ianya ditubuhkan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian tersebut berlaku melibatkan bangunan yang menempatkan 17 kelas pelajar.

Walaubagaimanapun tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Menurut Mohd. Adli, ketika kejadian kesemua pelajar telah pulang ke rumah setelah mendapat kebenaran pihak sekolah agar pulang lebih awal memandanglan sekolah itu terlibat dengan minggu peperiksaan.

“Kejadian ribut ini adalah yang pertama kali melanda sekolah ini. Sewaktu kejadian, sesi persekolahan sepatutnya masih berjalan tetapi minggu ini pelajar dibenarkan pulang lebih awal iaitu selepas solat Zohor kerana terlibat dengan minggu peperiksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang diketuai oleh Pegawainya, Rosli Chik bersama pasukan Polis segera ke lokasi kejadian termasuk meninjau kerosakan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin akan turun padang ke SMK Landas pada awal pagi esok untuk tindakan seterusnya.

Tag: