• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SMK Padang Midin Juara Perbarisan Hari Kebangsaan

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin muncul Johan Keseluruhan Perarakan dan Perbarisan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di sini.

Anugerah itu diraih apabila kontinjen SMK Padang Midin berjaya memenangi johan bagi kategori Pasukan Sekolah Menangah Kebangsaan Tidak Beruniform.

Pejabat Daerah Dan Tanah Dungun pula berjaya muncul juara dalam Pertandingan bagi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform.

Pada masa yang sama, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengungguli kategori Badan Berkanun Tidak Beruniform.

Selain itu, Kolej Universiti Tati pula pemenang bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Swasta, Anak Syarikat Terengganu (GLC), Perasatuan serta NGO Tidak Beruniform.

Turut memenangi bagi kategori Pasukan Sekolah Menengah Beruniform adalah dari Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Darat SMK Bukit Payung, Besut Terengganu.

Kesemua hadiah tersebut dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menghadiri acara yang diadakan di Dataran Shahbandar, di sini pagi tadi.

Turut mengiringi baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Negeri Terengganu dimulai dengan perarakan dan perbarisan oleh jabatan kerajaan, badan beruniform, anak syarikat negeri (GLC) serta institusi pendidikan.

Perbarisan lebih 4 kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Omar ke Wisma TNB, Jalan Engku Sar, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan berakhir di Dataran Shahbandar.

 

 


Tag: