Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
Oleh: Muhammad Safwan Sukeri
BESUT, 3 Julai – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) mengambil langkah proaktif dalam menyokong proses pemulihan mental dan fizikal pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas baru-baru ini, khususnya mangsa dari sekitar Besut dan Setiu.
Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, pihaknya amat prihatin terhadap keadaan pelajar yang terkesan dalam tragedi menyayat hati itu, dan memberikan tumpuan serius terhadap aspek emosi dan psikologi mereka pasca kejadian.
“Hasil ziarah kami, didapati UPSI telah menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua mangsa.
"Ini satu usaha yang sangat baik dan wajar diberikan penghargaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Prihatin UPSI di daerah Besut, semalam.
Beliau turut menyeru masyarakat agar memberikan ruang peribadi dan masa secukupnya kepada para pelajar untuk menjalani proses pemulihan dengan tenang.
“Kita faham ramai yang bersimpati dan ingin menziarahi, namun kunjungan yang terlalu kerap dan di luar waktu sesuai boleh menjejaskan rehat dan kestabilan emosi mereka.
"Berilah ruang secukupnya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, program ziarah ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya menekankan aspek pemulihan menyeluruh, fizikal, emosi dan mental.
Pasukan ziarah turut disertai kaunselor dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi menilai keperluan sokongan psikologi pelajar-pelajar yang terkesan.
Antara pelajar yang diziarahi ialah Rohadatul Aisy binti Mohd Zaki, 20, dari Kampung Gong Badang yang mengalami patah tulang pinggul, dan Wan Nor Masyitah binti Wan Hussin, 21, yang mengalami kecederaan pada tulang belakang.
Penolong Pegawai Tadbir USWa, Nor Hidayah Abdul Razak berkata, kedua-dua pelajar tersebut menunjukkan perkembangan positif dan kelihatan ceria ketika diziarahi.
Sementara itu, Kaunselor YPKT, Muhamad Shamin Adli Rukman berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberikan sokongan psikologi dan bimbingan emosi mengikut keperluan semasa.
"Usaha ini mencerminkan komitmen USWa dan YPKT dalam memastikan pemulihan pelajar bersifat menyeluruh merangkumi aspek jasmani, rohani dan emosi agar mereka mampu bangkit dan meneruskan kehidupan serta pengajian," katanya.