• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sokongan, Solat Hajat Keluarga Iringi Kejayaan Azizulhasni

DUNGUN, 8 Ogos – Walaupun dipisahkan lebih 5,000 kilometer, sorakan dan solat hajat keluarga jaguh trek negara, Dato' Muhammad Azizulhasni Awang di Dungun tidak putus sekali gus ia menjadi pencetus kejayaan di Olimpik Tokyo 2020.

Abang iparnya, Mohd. Razman Mohamad, 36, meluahkan rasa bangga dengan pencapaian 'The Pocket Rocketman' dalam acara keirin lelaki yang berlangsung di Velodrom Izu, Tokyo pagi tadi.

“Meskipun tidak membawa pulang pingat emas, namun kita tetap bangga atas prestasi terbaik terutamanya selepas pingat gangsa pada olimpik Rio 2016 lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Nibong Stesen, hari ini.

Menurutnya, Azizulhasni sempat menghubungi keluarga sebelum beraksi bagi bertanya khabar dan meminta keluarganya untuk mendoakan kejayaannya.

“Setiap kali sebelum kejohanan memang dia akan selalu telefon, tidak kira kesibukannya ketika melakukan persiapan sebelum bertanding, dan keluarga Awang sentiasa berada dibelakangnya sejak permulaan kariernya.

“Pingat perak itu juga dilihat sebagai hadiah buat ayah beliau, Awang @ Muda Embong, 72, yang terlantar sakit akibat strok namun masih menonton perlawanannya menerusi telefon pintar,” katanya lagi.

Hasrat jaguh kelahiran Dungun itu untuk meraih pingat emas terhalang apabila taktik pemenang pingat emas di Rio 2016 yang berasal dari Great Britain, Jason Kenny mengelirukan pelumba lain.

Kenny yang memecut menggunakan teknik 'senko' dari 750 meter terakhir meninggalkan pesaing lain untuk memenangi perlumbaan tersebut.