• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Solat, Makan Berjemaah Rahsia Tokoh Keluarga Tunggal Mithali

KUALA TERENGGANU, 10 November – Solat dan makan berjemaah menjadi rahsia tokoh Keluarga Tunggal Mithali, Hasnah Abdullah, 66, dari Kampung Pauh, Telemong dalam mendidik dan melahirkan sembilan orang anak hingga berjaya.

Katanya, tugas menjaga anak bukan mudah namun berkat kesabarannya, dia kini mampu tersenyum bangga kerana kesemua anaknya itu berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti dan seterusnya berjaya dalam bidang yang diceburi  serta menyumbang bakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Bekas pesara guru yang kematian suami sejak 13 tahun lalu berkata perkara pertama yang diterapkan dalam diri anak-anak adalah pendidikan agama kerana ia tunjang kehidupan seseorang individu.

Beliau sentiasa mengingatkan anak-anaknya bahawa kalau ingin berjaya, mereka hendaklah sembahyang dan berdoa kepada Tuhan. Sembahyang dan doa ini pula, hendaklah disusuli dengan kerja keras untuk mendapatkan apa yang dihajati itu.

“Kalau nak baiki hubungan ukhuwah antara keluarga, perkara pertama yang kita kena buat ialah Solat Berjema'ah! Dari solat berjemaah, kita akan belajar nilai hormat, nilai taat, nilai kasih sayang dan sebagainya

“Selepas solat pula, hiasi ia dengan zikir atau sedikit pesanan ringkas kepada ahli keluarga anda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Keluarga Mithali 2021, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu(YPKT), di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering di sini hari ini.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat,

Para pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 serta sijil penghargaan.

Tambah Hasnah, satu lagi amalan keluarganya ialah makan bersama-sama bagi menikmati masa berkualiti dengan anak-anak,

“Waktu makan adalah waktu yang tenang dan menyeronokkan sebab ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak-anak

“Cara ini secara tidak langsung akan merangsang anak berinteraksi dan dapat meluahkan pandangan mereka dengan lebih baik,”ujarnya.

Sementara itu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu telah menerima 27 pencalonan untuk kategori Keluarga Lengkap Mithali dan 24 pencalonan daripada kategori Keluarga Tunggal Mithali.

Menurut Pengarah YPKT, Wan Zaki Wan Abdullah, pemilihan ini sudah tentu mengambilkira kriteria-kriteria seperti keperibadian calon, kejayaan mendidik dan membesarkan anak-anak hingga anak-anak berjaya dengan cemerlang.

Katanya ini termasuk dengan sumbangan dan keaktifan dalam masyarakat, ketabahan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.