• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Solidariti Kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' Dilancarkan

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Sebagai tanda solidariti terhadap bencana yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria kerajaan Terengganu telah melancarkan tabung 'Terengganu For Turkiye'.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tabung itu merupakan satu inisiatif atas dasar prihatin dan ambil peduli terhadap negara terbabit yang dilanda gegaran gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu.

"Juga atas dasar kebersamaan dengan rakyat Turki kerajaan negeri sekali lagi menganjurkan satu program tabung 'Terengganu For Turkiye' sepertimana tabung yang pernah ditubuhkan sebelum ini iaitu 'Terengganu For Yemen', 'Terengganu For Palestine' dan 'Terengganu For Lubnan.

"Bermula dari sekarang kita akan mengadakan 'roadshow' ke seluruh pelusuk daerah dalam negeri Terengganu untuk mengumpulkan sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan mangsa," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Wan Sukairi, kutipan derma melalui tabung berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 8 Mac.

"Sumbangan itu akan datang daripada pelbagai pihak samda jabatan, agensi kerajaan negeri, anak syarikat, orang perorangan serta ngo-ngo dan juga syarikat-syarikat tertentu yang bersedia untuk memberikan sumbangan.

"Sehubungan dengan itu juga kerajaan negeri insya-Allah melalaui satu rombongan akan menghantar sendiri bantuan tersebut ke Turkiye pada 17 Mac yang akan datang,"katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu beramai-ramai menyumbang ke tabung berkenaan sebagai solidariti terhadap nasib yang menimpa negara terbabit.