• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Spesies Ikan Meningkat di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Program melabuh unjam dan tukun yang diusahakan Kerajaan Negeri berjaya membuahkan hasil apabila spesies ikan di perairan Terengganu meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata melalui kajian tukun pelbagai spesies marin lain yang ditemui di dalam laut juga meningkat.

“Apabila kita buat rumah akan ada populasi, kalau rumah atas darat manusia tinggal, rumah dalam laut spesies marin tinggal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda bertempat di Jeti Duyong Marina di sini.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata melalui kajian yang dibuat terdapat 25 spesies baharu ikan ditemui di perairan Terengganu.

“Spesies tersebut dikenalpasti melalui kajian yang dibuat di lokasi tukun dan unjam dilabuhkan.

“Objektif pembinaan tukun tiruan adalah bagi meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di kawasan persisiran pantai.

“Ia juga akan menyediakan kawasan pembiakan dan nurseri untuk ikan dan lain-lain hidupan marin serta memulih dan melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan dan bencana alam,” ujarnya.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

 

 

 

 


Tag: