• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Spesies Temoleh Dan Kelisa Dilarang Tangkap Di Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU, 16 Mac – Jabatan Perikanan menjalankan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan tidak berlaku tangkapan bagi dua spesies ikan yang dilarang tangkap tanpa permit iaitu spesies temoleh dan kelisa di Tasik Kenyir.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penguatkuasaan turut dijalankan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Terengganu serta beberapa pihak penguatkuasa lain. 

"Sebelum ini kita ada menerima bebarapa aduan berkenaan aktiviti menangkap ikan tanpa kawalan di kawasan Tasik Kenyir. Pihak jabatan ada membuat siasatan serta rondaan di kawasan terlibat. 

"Penguatkuasaan itu antara lain dilakukan bagi melindungi dua spesies ikan berkenaan yang disenarai dalam Jadual Pertama, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) di bawah Kaedah 3 (4) iaitu jenis ikan yang dilarang tangkap tanpa permit," katanya ketika dihubungi pemberita. 

Katanya, setiap aktiviti tangkapan ikan perlu mendapat kelulusan bagi mengelak spesies berkenaan terancam dan pupus. 

"Tasik Kenyir dibawah kawalan Ketengah dan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan menangkap ikan perlu mempunyai lesen mengikut Kaedah- Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu," tegas beliau lagi. 

Terdahulu, Ruzaidi menyertai aktiviti pelepasan 157,000 ekor benih ikan lampam sungai, baung dan udang galah ke perairan Sungai Leban Kerbat.

"Program itu bertujuan menambahkan sumber perikanan yang  dijangka akan memberi manfaat kepada 21 nelayan darat (sepenuh masa dan sambilan) berdaftar dibawah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu serta aktiviti eco-pelancongan di Tasik Kenyir," ujarnya.