• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

SPM 2016: Jaga Hubungan Dengan Allah, Petua 11 A+



Husna bersama ibu bapa melihat keputusan peperiksaan SPM 2016 yang diumumkan hari ini. Foto Zulkifli Putra

Menjaga hubungan dengan Allah dan juga manusia menjadi resipi utama Husna Mardiyyah Mohd Fauzi untuk berjaya memperoleh keputusan cemerlang 11 A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumumkan hari ini.

Meskipun mengakui belajar bersungguh-sungguh perlu bagi mencapai kejayaan, anak kedua daripada lima beradik itu berkata, apa yang lebih penting adalah mendekati dan melakukan ibadat kepada Allah secara berterusan kerana semuanya adalah kuasa Yang Maha Esa.

"Saya belajar seperti pelajar lain juga dengan mengikuti kelas tambahan dan juga mengulang kaji seperti biasa. Tidak ada kaedah lain tetapi saya sentiasa menjaga hubungan dengan Allah kerana saya yakin Allah akan memberi balasan baik kepada hambaNya.



"Selain itu, saya juga sentiasa menghormati dan berbuat baik dengan semua orang, terutama kepada ibu bapa, guru dan kawan-kawan, “ katanya ketika ditemui di Majlis Pengumuman dan Penyerahan Keputusan Peperiksaan SPM 2016 di Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu, hari ini.

Husna yang mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bercita-cita menjadi pensyarah mendapat semua A + dalam mata pelajaran yang diambil.

Matapelajaran itu adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan  Syariah dan Islamiah dan Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sementara itu, pelajar cemerlang bagi kategori Calon Berkeperluan Khas Nur Syuhada Alias dari  SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu  berkata kekurangan fizikal pada dirinya menjadi kekuatan untuk dia mencapai kecemerlangan.

Syuhada anak kepada kerani swasta, Alias Salleh, 55 dan dan ibunya,  Normah Mod Ali, 49, surirumah itu mengalami kecacatan penglihatan sejak lahir  berjaya memperoleh keputusan 4 (A) 1(A-) 1(B+) 1(C) 1(E).

Katanya, walaupun menghadapi kesukaran di mana perlu mendapat bantuan guru, kawan-kawan dan ibu bapa setiap kali belajar serta mahu mengulangkaji pelajaran, halangan itu tidak mendatangkan masalah.

“Sebaliknnya saya menanam keyakinan pada diri, hanya mahu berjaya seperti rakan normal lain,”katanya.
.


Tag: