• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

SRIDI : Kritikan Diterima, Jangan Manipulasi Isu

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Kerajaan negeri akan memastikan masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air yang berlaku di bangunan baharu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam di sini hari ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mengakui terlepas pandang mengenai perkara itu dan pastinya akan membuat pemantauan agar kejadian yang berlaku hari ini tidak akan berulang.

Namun beliau berharap agar pihak tertentu tidak memperbesar dan memanipulasi isu berkenaan seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, kerajaan negeri melalui pihak berkaitan akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin supaya tidak mengganggu sesi pembelajaran pada hari seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sistem I-Direktori Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri turut memberitahu, SRIDI Wakaf Mempelam adalah bangunan baharu dan hanya sementara di situ, pastinya ada kekurangan yang berlaku. Bangunan kekal akan dibina di kawasan yang bersesuaian pada masa akan datang.

Katanya, untuk bangunan kekal, kerajaan perlu mencari tanah selain melihat pelbagai kesesuaian lain, termasuk peruntukan yang ada dan bilangan pelajar.

“Sekiranya hanya ada 20 pelajar, mungkin perlu ditempatkan di bangunan sementara terlebih dahulu dan akan berpindah jika pelajar sudah melebihi kapasiti yang ditetapkan,” katanya.

Penubuhan SRIDI adalah antara manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, iaitu menyediakan sekolah rendah Islam di semua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri Terengganu secara berperingkat dalam tempoh lima tahun, termasuk dengan mengambil alih SRAYIT daripada YIT untuk diuruskan oleh JHEAT.

Pada 2018, SRIDI beroperasi di enam lokasi iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Kuala Nerus) serta Kampung Raja (Besut).

Manakala SRIDI Wakaf Mempelam (Kuala Terengganu) sebelum ini berada di Losong, berpindah ke bangunan baharu untuk sesi persekolahan pertama dengan bilangan 109 pelajar pada hari ini.





Tag: