• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SSPN-i RM1,000 Buat Hafiz, Hafizah Di Wakaf Mempelam

Oleh : Khairul Faez Rosdi

KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah telah menyediakan satu inisiatif sebagai suntikan semangat kepada para hafiz dan hafizah yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran sebanyak 30 juzuk. 

Wan Sukairi berkata, pihaknya menawarkan hadiah berupa RM1,000 melalui simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

"Ini sebagai pembakar semangat dan memudahkan urusan mereka untuk terus menimba ilmu di masa-masa mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hadiah kecemerlangan sempena tamat 30 juzuk Al-Quran kepada Siti Nur Damiatul Husna Abdul Salam daripada Maahad Tahfiz As-Sabiqun hari ini.

Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri turut mengucapkan tahniah buat adik Nurul Damiatul atas kejayaan tersebut.

“Syabas juga buat guru didiknya Ustaz Sabri Khadir serta yang paling bermakna ialah buat ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan.

“Antara syarat kelayakan bagi memohon insentif ini adalah ibu bapa merupakan warga dan pengundi di DUN Wakaf Mempelam.

"Jika ada yang berjaya menghafal 30 juzuk, boleh maklumkan pada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam di nombor telefon 06-6226958 untuk dibuat tapisan dan pendaftaran," jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Nur Damiatul, 15, yang mula menghafal pada tahun 2019, menceritakan antara tips kejayaannya adalah membaca dan menghafal ayat suci al-Quran selepas setiap kali solat subuh.

“Selain bangun awal pada waktu pagi untuk menghafal, saya turut amalkan Teknik sama selepas solat Maghrib,” katanya yang berasal dari Kampung Losong Haji Mat Shafie.