• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SST Tidak Selesai Masalah Rakyat


Oleh: Noor Safinah Mohd

KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak menyelesaikan masalah rakyat. Sebaliknya, kos sara hidup dan harga barangan masih lagi meningkat dan membebankan rakyat, kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh melaksanakan sesuatu sistem yang lain tetapi persoalannya adakah ia dapat menyelesaikan masalah asas kepada rakyat iaitu kos sara hidup dan harga barangan yang semakin meningkat.
"Apa yang paling penting setiap pelaksanaan yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk memastikan berlakunya pengurangan kos sara hidup. Bukan sekadar melakukan perubahan semata-mata tetapi ia masih sama,” kata beliau selepas melancarkan acara 10 Ribu Langkah Kemerdekaan di Surau Al-Hikmah, Padang Midin, di sini, semalam.



Menteri Besar turut merasmikan Karnival Perkampungan Ilmu sempena penubuhan 30 tahun Surau Al-Hikmah Padang Midin.


Program tersebut turut menampilkan beberapa personaliti dakwah dari seluruh Malaysia seperti Ustaz Ahmad Syukri Yusof, Ustaz Dr Zamri dan Ustaz Haslin Bollywood.

Dalam pada itu, Dr Samsuri berkata, kerajaan hari ini sepatutnya memberi tumpuan utama kepada langkah untuk mengawal dan menurunkan harga barangan berikutan isu masa kini, harga barangan begitu mudah meningkat berbanding sebaliknya.

Menurut beliau lagi, PAS sendiri mencadangkan pemansuhan GST dan berharap kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan cukai dalam bentuk yang lain sekali gus tidak membebankan rakyat.

"PAS telah memperkenalkan Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham dalam manifesto pilihanraya yang lalu sebagai alternatif kepada cukai sebelum ini,"kata beliau lagi.


Tag: