• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Star Cruise Bakal Berlabuh Di Muara Sungai Terengganu


KUALA TERENGGANU,  2 Mac - Kerajaan negeri meminta tempoh setahun untuk membolehkan  kapal pelancongan bertaraf antarabangsa (star cruise) berlabuh di muara Sungai Terengganu, selepas jambatan angkat (draw bridge) dijangka siap Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, jambatan angkat setelah siap akan menjadi mercu tanda dan antara tarikan pelancong utama bagi negeri Terengganu.

"Semasa belum siap, draw bridge sudah menjadi tumpuan pelancong untuk melihatnya, apa lagi jika ia siap sepenuhnya nanti.

"Sekarang jambatan angkat itu sudah siap sebanyak 70 peratus, dalam jangkaan bulan Jun ini jambatan angkat itu akan siap sepenuhnya," jelas beliau.


Ustaz Ariffin berkata demikian ketika merasmikan Matta Fair Terengganu 2019 yang julung-julung kali diadakan di Terengganu di ruang legar Paya Bunga Square, di sini semalam.

Menurut beliau, sekarang pun ketika jambatan itu belum siap, videonya tular di media sosial dan ramai yang tertarik dengan kecantikan strukturnya.

Katanya, sekiranya ia siap nanti jambatan itu lebih cantik dan akan menjadi destinasi pelancong utama negeri Terengganu.


Turut hadir memeriahkan Matta Fair Terengganu, personaliti tv terkenal, Mat Dan.

Tag: