KUALA TERENGGANU, 20 April – Terengganu menyasarkan peningkatan hasil menerusi 'State Asset Monetization' sekurang-kurangnya RM50 juta hingga RM100 juta setahun tanpa perlu bergantung kepada royalti petroleum semata-mata.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, tekad untuk meningkatkan hasil itu telah diputuskan sebagai salah satu resolusi, iaitu memperkukuh sumber hasil negeri secara strategik dan berdaya tahan dengan menggariskan beberapa inisiatif.
“Kita memperkenalkan sumber hasil baharu antaranya caj jeti komersial, premium tambahan tanah dan dasar 'zero discharge'.
“Penyelarasan kadar Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan royalti berasaskan pasaran. Pendekatan 'State Asset Monetization' sebagai satu kaedah untuk mengoptimumkan aset milik negeri agar dapat menjana pulangan yang mampan.
“(Serta) mengurangkan ketirisan hasil melalui penguatkuasaan yang lebih tersusun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program 100 Hari Pentadbiran Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Terengganu bersama ketua-ketua jabatan negeri di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, semalam.

“(Ia) bertujuan merangka pelan tindakan yang lebih bersistematik, berfokus dan realistik ke arah memperkukuh pembangunan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu Darul Iman.
“Hasilnya, sebanyak 54 strategi utama telah berjaya dirumuskan merangkumi empat kluster teras, iaitu penerokaan sumber hasil baharu, pengukuhan hasil sedia ada, peningkatan keupayaan dan kompetensi perkhidmatan serta pemantapan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Tag :